Alhamdulillah, syukur ke hadrat Ilahi kerana dengan izin-Nya, Karnival KITA 2026 Sekolah Kebangsaan Kuala Klawang dapat dilaksanakan pada hari ini. Saya mengalu-alukan kehadiran semua murid, guru, ibu bapa, penjaga serta komuniti setempat ke karnival yang penuh warna dan bermakna ini.
Karnival KITA merupakan sebahagian daripada Program Pembudayaan Generasi MADANI yang bertujuan membentuk karakter murid secara menyeluruh dari segi intelek, sahsiah dan spiritual. Melalui empat zon, iaitu Zon Karakter, Zon Inovasi, Zon Tanggungjawab dan Zon Aspirasi, murid berpeluang belajar di luar bilik darjah, membina keyakinan diri, mencetuskan kreativiti dan menghayati nilai murni secara bermakna.
Saya amat berharap karnival ini menjadi pemangkin kepada jalinan kolaborasi yang lebih erat antara sekolah, ibu bapa dan komuniti. Pendidikan anak-anak adalah tanggungjawab bersama, dan kejayaan mereka adalah kejayaan kita semua.
Setinggi-tinggi tahniah dan terima kasih saya ucapkan kepada Jawatankuasa Kokurikulum, semua guru, staf sokongan, unit beruniform, kelab serta semua pihak yang telah bertungkus-lumus menjayakan program ini. Kepada murid-murid, nikmatilah setiap aktiviti dengan penuh semangat dan tunjukkan sahsiah terpuji sepanjang karnival.
Sekian, terima kasih.